Peranakan Jatuh Lepas Bersalin

Friday, July 03, 2015

Prolaps merupakan masalah sakit puan yang biasa terjadi tetapi ramai wanita tidak mahu mendapatkan rawatan kerana malu, atau mereka tidak sedar bahawa keadaan ini boleh menyebabkan masalah dan tidak tahu bahawa ada rawatan untuk masalah ini. Apa yang penting ialah untuk mendapatkan nasihat perubatan awal kerana masalah ini boleh dirawat.

Utero vaginal  prolapse (UVP) adalah keadaan dimana rahim bersama vagina/faraj turun dari kedudukan yang sepatutnya. Masalah rahim jatuh juga boleh berlaku bersama kejatuhan pundi kencing pada bahagian hadapan (dipanggil anterior wall prolapse atau cystocoele), dan / atau kejatuhan saluran usus pada bahagian belakang (dipanggil posterior wall prolapse atau enterocele/ rectocele).

4 Peringkat Kejatuhan Rahim
Peringkat Pertama: Rahim jatuh sedikit sahaja daripada kedudukan normal, tetapi masih didalam vagina/ faraj.

Peringkat Ke-2 : Sebahagian dari rahim telah keluar dari vagina

Peringkat Ke-3 : Keseluruhan rahim berada diluar vagina. Biasanya keadaan ini akan bersama kejatuhan pundi kencing pada bahagian hadapan, dan kejatuhan saluran usus besar pada bahagian belakang. Namun pada peringkat ini, organ ini masih lagi boleh ditolak masuk kedalam vagina apabila pesakit baring di atas katil.

Peringkat Ke-4 : Keadaan organ jatuh seperti peringkat ketiga namun pesakit tidak boleh memasukkan kembali ke dalam vagina biarpun dalam keadaan baring.



Punca Rahim Jatuh

  • Otot lantai pelvis dan ligamen sekitarnya menjadi lemah dan tidak mampu memberi sokongan secukupnya kepada rahim
  • Ketiadaan hormon estrogen terutama kepada wanita yang sudah putus haid (menopaus)

Tanda-tanda Rahim Jatuh

  1. Rasa berat pada bahagian rongga pelviks (peringkat pertama)
  2. Sakit belakang, perasaan berat pada bahagian pinggang ke bawah (peringkat ke-2)
  3. Terdapat benjolan bahagian serviks terkeluar melalui bukaan vagina terutama ketika berdiri (peringkat ke-2)
  4. Mengalami kesukaran untuk kencing, kencing tidak lawas (peringat ketiga-keempat)
  5. Sering terkeluar kencing semasa batuk atau bersin (peringkat ke3-ke 4) 

Golongan Berisiko Mengalami Prolaps
  1. Mereka yang pernah hamil dan bersalin. Semakin banyak kehamilan, maka semakin meningkat risiko tersebut.
  2. Mereka yang telah putus haid (menopaus). - Kekurangan hormon estrogen menyebabkan pengecutan dan pengenduran otot pelvis
  3. Mereka yang menghidap batuk kronik, sembelit berpanjangan dan selalu mengangkat benda berat. Aktiviti ini boleh meningkatkan tekanan pada ruang abdomen dan menyumbang kepada rahim jatuh.

Berpantang dengan Cara yang Betul

Cara berpantang yang betul boleh mengurangkan risiko terjadinya rahim jatuh. Pemakanan yang berkhasiat akan membuatkan proses penyembuhan berjalan lancar dan ini membantu otot dan ligamen pada lantai pelviks yang rosak untuk kembali pulih dan menyokong rahim.


  • Pengambilan air dan fiber yang mencukupi akan membantu proses pencernaan dan mengelakkan masalah sembelit(masalah sembelit yang berpanjangan boleh menyumbang kepada rahim jatuh)
  • Amalan berurut dan menaikkan rahim boleh membantu mengurangkan risiko.
  • Senaman lantai pelvis (senaman kegel)yang berterusan (boleh dilakukan 2 minggu selepas bersalin)
  • Amalan berbengkung dan bertungku akan membantu mengecutkan rahim, mengempiskan perut dan meletakkan kembali rahim pada kedudukan yang betul.

Cara Mengelakkan Prolaps
  • Semasa Hamil : Lakukan senaman kegel
  • Semasa Bersalin : Elakkan meneran terlalu awal sebelum pintu rahim terbuka sepenuhnya
  • Selepas Bersalin : Elakkan dari mengalami sembelit. Lakukan senaman lantai pelvis secara berterusan
  • Selepas Menopaus : Hormon Terapi Gantian (HRT) mungkin membantu mengurangkan risiko rahim jatuh. Elakkan dari berdiri berpanjangan, mengangkat barang berat dan masalah batuk yang kronik. Lakukan semula senama lantai pelvis setiap hari.




You Might Also Like

0 comments